Kepatuhan Shari'ah

Untuk makluman semua, pada 9 September 2016 yang lalu Syarikat telah menerima Sijil Kepatuhan Shari’ah yang diiktiraf oleh Ustaz Dr. Zaharuddin Bin Abdul Rahman (UZAR) selaku Pengerusi Jawatankuasa Shari’ah ONEXOX. Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian ulung Syarikat didalam industri telekomunikasi dan juga sebagai batu loncatan kepada kita semua untuk bergerak memasarkan ONEXOX dengan lebih yakin. Sedikit perkongsian, sebelum Syarikat mendapat pengiktirafan ini, kaji selidik yang rapi serta perbincangan secara khusus telah dilakukan keatas pelbagai aspek bermula daripada laman web Syarikat, setiap pelan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna, skim insentif UGU, pelan pemasaran yang ditawarkan kepada pengedar, Onesys, borang-borang yang digunapakai, terma & syarat yang terkandung didalam kontrak perjanjian pengedar sehinggalah kepada hal ehwal kewangan Syarikat bagi memastikan tiada unsur-unsur penindasan, gharar (ketidakjelasan/‘misleading’) dan yang pentingnya hasil pendapatan Syarikat adalah daripada sumber yang halal.


Sehubungan pengiktirafan ini, SILA AMBIL MAKLUM bahawa Syarikat telah mengenakan syarat baharu bagi menggantikan pemansuhan top-up peribadi RM30 untuk melayakkan penerimaan insentif kepada semua pengedar. Syarat adalah seperti berikut:


1. Semua pengedar yang didaftarkan sebelum atau pada 31 Ogos 2016:

Dalam tempoh 6 (enam) bulan pertama (pusingan sasaran pertama) bermula 1 September 2016 sehingga 28 Februari 2017,

i. pengedar-pengedar mestilah mencapai sasaran minima 100 (seratus) pengaktifan SIM berserta top-up minima RM5 setiap satu; ATAU

ii. pengedar-pengedar mestilah mencapai sasaran jualan e-recharge (top-up) minima RM500 kepada pengguna-pengguna atau keatas nombor DREG pengedar itu sendiri;


untuk terus menerima pembayaran insentif bagi tempoh 6 (enam) bulan keduanya bermula 1 Mac 2017 sehingga 31 Ogos 2017. Dalam tempoh 6 (enam) bulan kedua (pusingan sasaran kedua) itu jugalah pengedar-pengedar mesti mencapai sasaran yang sama bagi melayakkan penerimaan insentif untuk tempoh 6 (enam) bulan yang seterusnya.


2. Semua pengedar yang didaftarkan pada atau selepas 1 September 2016:

Bermula daripada baki hari didalam bulan semasa pendaftaran pengedar serta tempoh 6 (enam) bulan seterusnya (iaitu pusingan sasaran pertama), syaratnya adalah seperti pada butiran 1.i ATAU ii di atas untuk terus menerima pembayaran insentif bagi tempoh 6 (enam) bulan keduanya. Dalam tempoh 6 (enam) bulan kedua (pusingan sasaran kedua) itu jugalah pengedar-pengedar mesti mencapai sasaran yang sama bagi melayakkan penerimaan insentif untuk tempoh 6 (enam) bulan yang seterusnya.

Dalam erti kata lain, setiap pengedar wajib mencapai sasaran minima yang sama bagi setiap pusingan 6 bulan untuk menerima insentif secara terus menerus.


Pengedar-pengedar yang dihargai, keputusan mengenakan syarat baharu ini telah dibuat atas nasihat UZAR untuk memastikan cara pembayaran insentif tidak mencurigakan dan bersesuaian dengan tuntutan shari’ah iaitu mengenakan hibah (pemberian hadiah/insentif) bersyarat dimana pengedar-pengedar dikehendaki meneruskan kerja-kerja bagi menerima hibah.

Dengan ini, Syarikat amat berharap agar semua pengedar dapat menerima syarat baharu ini dengan positif, mengambilnya sebagai garis panduan untuk menjana pendapatan yang boleh dibanggakan dan memanfaatkan platform perniagaan mampu milik ini sebaik mungkin. Semoga pengiktirafan kepatuhan shari’ah ini memberi anda lebih keyakinan terhadap produk ONEXOX serta halatuju Syarikat dan secara langsung mempermudahkan aktiviti jualan anda di luar sana.

Sekian, terima kasih.

Pengurusan.

Komen